Setiap hujung minggu, saya pening kepala merancang aktiviti keluarga yang bersesuaian. Bukannya tak ada aktiviti kanak-kanak yang menawan. Tetapi memikirkan ongkosnya... aduh mak, terduduk mak!
Bayangkan kalau 4 orang anggota keluarga pergi ke Taman Burung atau Taman Haiwan. Kos tiket, tambang teksi dan makan minum akan mencecah lebih seratus dolar! Kalau nak berlegar-legar di pusat membeli-belah, hai... amatlah bosan! Lagipun ramai orang. Jadi saya amat teruja jika terserempak aktiviti-aktiviti menarik yang tidak menelan belanja yang banyak.
Tipss 3A : Mengunjung Balai Bomba
Tip ini saya dapati dari blog Milly yang menyarankan kunjungan ke balai bomba. Rupa-rupanya setiap hari Sabtu, di antara pukul 9 - 11 pagi, balai-balai bomba di serata Singapura mengadakan rumah terbuka. Para pengunjung boleh masuk dengan percuma dan melihat kereta bomba dan belajar tentang khidmat bomba dengan lebih dekat.
Milly menyarankan balai bomba Hill Street sebagai tempat kunjungan. Bukan hanya ianya balai bomba tertua di Singapura, reka bentuk bangunannya amat unik. Selepas kunjungan tersebut, boleh lah terus ke Galeri Civil Defence yang bersebelahan. Masuk dengan percuma dan anda boleh melihat peralatan serta kenderaan bomba yang antik, sambil menambah ilmu pengetahuan tentang sejarah perkhidmatan bomba di Singapura. Anda juga berpeluang menaiki menara serta memanjat tangga bomba. Jadi kalau anda ingin pergi, pastikan anda memakai seluar panjang!
Tipss 3B : Pergi ke Muzium Mainan
Singapura ada bukan satu, ataupun dua, tapi tiga buah Muzium Permainan. Untuk mak bapak, boleh lah rasa nostalgik melihat permainan-permainan lama. Untuk kanak-kanak yang sudah tentu lebih biasa dengan Playstation dan Xbox, mungkin akan merasa hairan melihat permainan yang tidak payah dicucuk ke socket elektrik. Tiga buah muzium tersebut adalah :
Muzium MINT
Sebuah muzium yang terletak bertentangan Raffles Hotel. Bayaran masuk agak mahal ($15 dewasa, $7.50 kanak-kanak). Tetapi exhibit yang ditayangkan amat comprehensive. Anda boleh melihat contoh-contoh permainan dari lebih kurang 25 buah negeri. Alat permainan yang paling tua adalah dari tahun 1840 (lebih tua dari Singapura moden!) dan anda juga dapat melihat permainan-permainan unik yang harganya mencecah ribuan dolar.
Muzium Permainan Shanghai
Sebuah muzium yang didedikasikan kepada permainan-permainan yang dihasilkan di Shanghai. Laman web muzium ini amat menarik. Bayaran masuk adalah $8 dewasa, $5 kanak-kanak. Promosi untuk pemegang kad POSB, DBS, OUB dan OCBC - $5 dewasa, $3 kanak-kanak
Muzium Kanak-Kanak (Children Little Museum)
Inilah muzium yang paling seronok! Ianya terletak di Kandahar Street (berdekatan Kampung Gelam) dan diuruskan oleh 2 orang sahabat. Hanya dibuka pada waktu tengahari, selepas waktu kerja dan pada hujung minggu.
Tempatnya kecil tapi penuh sarat dengan pelbagai barang-barang lama yang tentu akan menusuk jiwa. Ada bola tiup, chap teh, kuti-kuti, mesin ais kacang lama dan macam-macam lagi. Dinding muzium tersebut dipenuhi dengan gambar-gambar hitam putih lama yang mengilustrasi kehidupan di Singapura pada zaman 50-60an.
Bayaran masuk hanyalah $2! Saya amat terharu ada dua orang yang amat peka pada kepentingan menyelamatkan khazanah dan sejarah lama. Marilah kita sokong niat murni ini.
Banyak sangat permainan! Tak tahu mana nak tengok! Siapa boleh nampak bola tiup, buah kanna dalam balang dan permainan plastik buat bayi?
Gerai minuman dan ais kacang atau ice ball. Dulu hanya 5 sen kebawah dah boleh dapat snek yang sejuk dan lazat. Tak payah makan ais krim berjenama mahal!
0 ulasan:
Catat Ulasan